Terapi pertuturan merupakan terapi yang fokus kepada masalah
pertuturan dan masalah komunikasi verbal serta masalah kesukaran menelan.
Masalah pertuturan merujuk kepada masalah-masalah yang menghalang penghasilan suara
seseorang dan juga penggabungan suara untuk menghasilkan kata atau frasa yang
bermakna dan boleh difahami. Manakala, masalah komunikasi verbal pula merujuk
kepada kesukaran untuk memahami percakapan seseorang dan memberi respon
kepadanya. Masalah kesukaran menelan merangkumi masalah untuk makan dan minum
serta ketidakupayaan mengelak air liur daripada meleleh keluar.
Terapi pertuturan dapat membantu
mereka pada pelbagai peringkat umur yang mengalami masalah yang berkaitan
dengan pertuturan, komunikasi verbal dan kesukaran menelan. Ia termasuklah bayi
yang sukar disuap; kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami kesukaran untuk
menelan atau makan dan minum; individu-individu yang mengalami masalah
pertuturan dan komunikasi akibat daripada perkembangan lewat, kecederaan otak,
masalah pendengaran, perkembangan kemahiran komunikasi dan bahasa yang lewat, CP dan masalah pembelajaran; orang dewasa yang mengalami strok,
kanser pada kepala, leher atau kerongkong, masalah kesihatan mental dan sebagainya.
Terapi pertuturan akan membantu
individu-individu CP mengawal otot-otot pada mulut, lelangit dan
kerongkong dengan lebih baik supaya dapat meningkatkan kemahiran-kemahiran
untuk bertutur, berkomunikasi secara verbal dan menelan. Mereka akan diberi
pelbagai aktiviti yang dapat merangsang penggunaan, menguatkan dan meningkatkan
koordinasi pergerakan otot-otot tesebut seperti mengurut otot-otot tersebut;
melakukan pergerakan lidah dan rahang mulut; melakukan aktiviti yang berkaitan
dengan pernafasan seperti bernafas panjang, menahan nafas lalu melepasnya
perlahan-lahan; meniup dan sebagainya.
Terapi pertuturan akan membantu bayi CP untuk menghisap susu atau air dan menelannya. Seterusnya, ia
akan membantu bayi, kanak-kanak dan mungkin juga individu CP yang
telah besar mempelajari kemahiran-kemahiran meminum dengan menggunakan
penyedut; meminum dari cawan atau gelas; menggigit, mengunyah dan menelan
pelbagai jenis makanan dari tekstur lembut hingga keras seperti bubur, nasi,
biskut, buah-buahan dan sebagainya. Terapi ini juga akan membantu mereka untuk
menelan air liur atau memastikan air liur tidak dileleh keluar daripada mulut.
Dalam terapi pertuturan,
individu-individu palsi serebrum CP kemahiran bertutur, mereka akan diajar untuk
membunyikan bunyi sesuatu binatang, kenderaan atau benda-benda lain seperti
bunyi ayam, enjin kereta, keretapi, bunyi hon, jam, loceng dan sebagainya.
Mereka akan diajar menamakan huruf-huruf; membunyikan sesuatu huruf seperti
aaa..., sss.... dan kr....; dan menyebut sesuatu sukukata, perkataan, frasa dan
kemudiannya ayat. Bagi mereka yang kecil, mereka biasanya akan diajar melalui
permainan simbolik. Bagi mereka yang lebih besar pula, mereka akan diajar
melalui pembacaan. Mereka akan belajar pergerakan mulut yang diperlukan untuk
menyebut sesuatu dengan meneliti pergerakan mulut jurupulih ketika menyebut
sesuatu dan adakalanya merasai pergerakan kerongkong jurupulih atau angin yang
dikeluarkannya semasa menyebut sesuatu. Kemudiannya, mereka akan cuba
menyebutnya. Mereka akan terus belajar dan berlatih sehingga dapat menyebut
dengan sejelas yang mungkin secara konsisten.
Dalam masa yang sama, mereka juga
akan belajar berkomunikasi secara verbal dengan orang lain. Mereka akan
dibimbing untuk menceritakan apa yang sedang berlaku dalam permainan simbolik
atau apa yang kelihatan dalam sesuatu gambar yang diberi, menceritakan sesuatu
yang berkaitan dengan diri mereka dan menjawab soalan-soalan yang ditanya
jurupulih. Mereka terutamanya yang mengalami sedikit masalah pendengaran akan
dibimbing untuk mengasah kemahiran-kemahiran mendengar yang penting untuk
berkomunikasi. Bagi mereka yang tidak berupaya untuk bercakap atau
berkomunikasi secara verbal, mereka akan diajar berkomunikasi melalui cara-cara
lain khususnya melalui penggunaan makaton atau carta komunikasi. Mereka
mungkin juga akan dibimbing untuk menulis atau menaip sesuatu perkataan, frasa,
ayat atau perengan.Secara tidak langsung, terapi pertuturan juga akan membantu
perkembangan bahasa seseorang. Mereka akan mempelajari perkataan-perkataan baru
dan pembentukan frasa, ayat serta perenggan.
No comments:
Post a Comment