Adakalanya sesetengah individu CP akan disarankan menjalani pembedahan bagi menangani masalah-masalah tertentu seperti masalah sistem rangka dan ketegangan otot yang terlampau tinggi selain meransang perkembangan otot yang lebih baik.
Pembedahan yang berkaitan dengan
sistem rangka mungkin disarankan agar seseorang itu dapat duduk dengan lebih
tegak, berjalan dengan lebih baik atau mengalami pertumbuhan atau perkembangan
otot yang lebih baik. Pembedahan ke atas tulang belakang mungkin dilakukan
untuk meluruskan tulang belakang yang bengkok. Sesetengah pembedahan disarankan
agar dapat memudahkan seseorang itu menggunakan alat bantuan pergerakan seperti
kerusi roda.
Tenotomy
merupakan suatu pembedahan yang bertujuan mengurangkan ketegangan otot yang
terlampau tinggi. Dalam pembedahan ini, tendon pada otot kaki khususnya yang
mengalami ketegangan terlampau tinggi akan dipotong dan kemudian bahagian kaki
itu (atau tangan) akan dibalut dengan simen atau cast dalam keadaan yang
ingin dibetulkan seperti diluruskan atau dipanjangkannya. Selepas berehat beberapa
lama, seseorang itu dikehendaki menjalani sesi fisioterapi untuk menyesuaikan
diri dengan keadaan kaki (atau tangan) yang diperbetulkan. Selepas itu, simen
atau cast tersebut akan dibuka.
Selain itu, ada sesetengah individu CP yang mengalami epilepsi akan dinasihatkan menjalani pembedahan
untuk mengurangkan atau mengelakkan serangan epilepsi. Hal ini kerana masalah
epilepsi yang dialami oleh mereka itu biasanya tidak dapat dikawal dengan baik
melalui pengambilan ubat saja. Individu-individu CP yang mengalami
masalah penglihatan terutamanya strabismus pula akan dinasihatkan
menjalani pembedahan untuk mengelakkan double vision.
No comments:
Post a Comment