Sesetengah individu CP dan mungkin juga OKU lain
menghadapi masalah untuk menaip atau menekan kekunci-kekunci yang diingini
dengan tepat. Semasa cuba menaip sesuatu aksara, mereka selalunya akan tertekan
kekunci-kekunci yang tidak diingini khususnya yang berhampiran dengan aksara
yang ingin ditekan itu, sama ada dengan jari-jari atau tapak tangan. Hal ini
disebabkan oleh masalah-masalah pergerakan tangan yang dialami seperti
pergerakan yang tidak sengaja, pergerakan yang tidak terkawal atau
bergetar-getar dan tidak dapat menstabilkan tangan.
Bagi menangani atau mengurangkan masalah ini, mereka mungkin
boleh menggunakan keyguard. Keyguard merupakan satu permukaan
plastik yang berbentuk segiempat tepat dan saiznya lebih kurang sama seperti
papan kekunci yang digunakan. Permukaannya berlubang-lubang mengikut susun atur
kekunci-kekunci pada papan kekunci yang digunakan. Keyguard akan
dilekatkan di atas sesuatu papan kekunci itu.
Dengan adanya keyguard, kebanyakan mereka itu boleh
menekan kekunci-kekunci atau menaip sesuatu dengan tepat dan mudah. Mereka
menekan sesuatu aksara yang diingini dengan memasukkan jari ke dalam lubang
yang berkaitan lalu menekan aksara tersebut. Keyguard dapat mengelakkan
mereka daripada tertekan kekunci-kekunci lain dengan mudah. Hal ini seterusnya
dapat mengurangkan kekecewaan mereka yang selalu tertekan kekunci-kekunci lain
sekiranya tidak menggunakan keyguard. Mereka juga boleh meletakkan atau
merehatkan tangan mereka pada keyguard semasa menaip.
No comments:
Post a Comment