Search This Blog

Saturday 30 November 2013

Celebral Palsy Dan Masalah Tumbesaran

Masalah menelan atau makan dan minum yang dihadapi oleh individu-individu CP berkemungkinan akan menyebabkan masalah pertumbesaran atau tumbesaran yang terbantut. Mereka yang mengalami masalah pertumbesaran akan kelihatan jauh lebih kecil berbanding dengan kanak-kanak lain yang seumur dengan mereka.

Selain itu, bahagian otak yang bertanggungjawab terhadap pertumbesaran seseorang CP berkemungkinan juga mengalami kecederaan atau kerosakan. Kecederaan atau kerosakan pada bahagian otak ini akan menyebabkan masalah pertumbesaran pada individu berkenaan.

Selain masalah pertumbesaran, ada juga individu CP yang lewat mencapai akil baligh.

Celebral Palsy Dan Kesukaran Untuk Menelan

Individu-individu CP mungkin juga menghadapi kesukaran untuk menelan atau makan dan minum terutamanya ketika seseorang itu masih kecil lagi. Bagi bayi dan kanak-kanak kecil, mereka mungkin menghadapi kesukaran untuk menghisap air dan susu daripada botol.

Ada individu CP mungkin menghadapi kesukaran atau langsung tidak berupaya untuk minum dari cawan atau gelas, dan perlu menggunakan penyedut. Malah ada antara mereka juga menghadapi kesukaran untuk menyedut minuman dengan menggunakan penyedut. Sebahagian air yang diminum atau disedut mungkin akan meleleh keluar daripada mulut. Selain minum, mereka juga menghadapi kesukaran untuk makan termasuk menggigit, mengunyah dan menelan makanan.

Antara faktor yang menyebabkan masalah ini termasuklah otot-otot mulut yang lemah atau terlalu tegang mengakibatkan kesukaran untuk mengunyah; kesukaran menutup mulut dengan rapat yang mengakibatkan makanan terkeluar daripada mulut semula semasa cuba mengunyah; kesukaran melakukan pergerakan lidah yang betul untuk mengawal makanan semasa ia dikunyah atau untuk menolak makanan dari bahagian luar mulut ke bahagian dalam mulut; otot-otot muka yang lemah mengakibatkan makanan disimpan atau terus berada pada bahagian tepi (dalam) mulut; deria rasa yang kurang peka mengakibatkan seseorang itu tidak sedar bahawa terdapat makanan di dalam mulutnya atau kedudukan makanan tersebut dalam mulut; dan sebagainya. Kesukaran menelan ini akan menyebabkan seseorang itu menghadapi pelbagai kesukaran semasa makan atau minum seperti tersedak/batuk semasa atau sejurus selepas makan, makan dengan kadar agak perlahan, memerlukan usaha yang lebih untuk mengunyah, tercekik dan sebagainya.

Bagi mengurangkan risiko seseorang individu CP daripada tercekik, dia haruslah dipastikan duduk dengan postur yang betul semasa makan. Dengan postur yang betul, masalah menelan atau makan dan minum yang lain mungkin juga dapat dihadapi dengan baik. Bagi mereka yang menghadapi kesukaran menelan atau makan dan minum yang teruk, mereka mungkin akan diberi makanan dan minuman melalui tiub untuk mengelakkan mereka daripada kekurangan makanan termasuk air.

Celebral Palsy Dan Air Liur Meleleh

Air liur meleleh atau drooling dalam bahasa inggeris bermaksud ketidakupayaan mengelak air liur daripada meleleh keluar dari mulut. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa bayi dan mungkin juga kanak-kanak kecil akan meleleh air liur. Namun, air liur yang dileleh keluar akan berkurangan dan seterusnya berhenti sejajar dengan peningkatan umur seseorang kanak-kanak. Seseorang kanak-kanak yang telah berumur empat tahun tidak seharusnya meleleh air liur lagi kecuali mereka yang menghadapi ketidakupayaan atau masalah kesihatan seperti palsi serebrum.

Individu-individu CP mungkin akan meleleh air liur. Hal ini disebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk menelan, kesukaran untuk mengalirkan air liur ke belakang kerongkong, kesukaran untuk menutup mulut dan sebagainya. Masalah ketidakupayaan untuk mengelak air liur daripada meleleh keluar dari mulut mungkin bertambah parah sekiranya seseorang itu mempunyai kawalan kepala (head control) yang lemah, postur badan yang abnormal, kekurangan deria rasa pada sekeliling mulut, bernafas dengan mulut, kurang tumpuan dan semasa dia berasa teruja akan sesuatu.

Ketidakupayaan mengelak air liur daripada meleleh keluar dari mulut akan menjejaskan kebersihan dan kesihatan diri. Seseorang itu mungkin akan menghadapi masalah kulit akibat daripada selalu terkena air liur. Hal ini semua seterusnya mungkin akan menyebabkan kawan-kawan atau orang lain tidak suka mendekatinya.

Celebral Palsy Dan Epilepsi ( Sawan )

Individu CP juga berkemungkinan mengalami sawan atau epilepsi. Malah, individu CP lebih berisiko mengalami epilepsi daripada orang lain yang tidak mengalami masalah saraf. Difahamkan bahawa lebih banyak individu palsi serebrum jenis spastik yang mengalami epilepsi berbanding dengan palsi serebrum jenis lain. Hal ini kerana salah satu bahagian otak yang berisiko tinggi menyebabkan epilepsi merupakan bahagian otak yang menyebabkan palsi serebrum jenis spastik, sekiranya ia mengalami kerosakan atau kecederaan.

Apabila seseorang mengalami epilepsi, dia akan hilang kawalan terhadap pergerakan badannya dan kurang atau langsung tidak sedar akan dirinya dan juga persekitarannya. Sesuatu episod epilepsi biasanya akan berakhir selepas beberapa saat atau beberapa minit. Selepas sesuatu episod epilepsi, seseorang itu mungkin akan berasa lesu, keliru dan sebagainya. Dia akan kembali normal atau seperti sediakala selepas beberapa minit atau jam. Dia berkemungkinan juga memerlukan masa beberapa hari untuk kembali normal atau seperti sediakala.

Friday 29 November 2013

Celebral Palsy Dan Masalah Intelektual dan Pembelajaran

Difahamkan bahawa 2/3 daripada individu CP mempunyai kecerdasan mental yang lebih rendah atau mengalami masalah intelektual. 1/3 daripadanya hanya mengalami masalah intelektual pada tahap minimum, manakala 1/3 lagi pada tahap sederhana atau teruk. Individu CP yang lain (1/3 daripada mereka) mempunyai kecerdasan mental yang normal, malah ada yang lebih tinggi.

Seseorang yang mengalami masalah intelektual akan menghadapi kesukaran dalam sesetengah aspek kehidupan. Mereka mungkin menghadapi kesukaran dalam pengurusan diri, aktiviti-aktiviti harian, penjagaan kesihatan dan keselamatan diri, bidang akademik, kemahiran komunikasi, kemahiran sosial, kemahiran bermain atau melibatkan diri dalam aktiviti masa lapang dan juga bekerja. Kesukaran yang dihadapi mereka adalah berbeza antara satu sama lain.

Walaubagaimanapun, kebanyakan mereka hanya memerlukan masa yang lebih lama sedikit untuk mempelajari sesuatu yang baru. Dengan latihan atau terapi dan bimbingan, mereka berkeupayaan menjalani kehidupan berdikari dan hidup bermasyarakat.

Individu CP baik yang mempunyai kecerdasan normal atau lebih rendah juga berkemungkinan mengalami masalah pembelajaran. Mereka yang mengalami masalah pembelajaran bukan bermaksud mereka ini tidak boleh belajar. Mereka mungkin memerlukan strategi pembelajaran yang berlainan atau memerlukan masa yang lebih panjang untuk belajar, dan mereka juga boleh mencapai kejayaan dalam pelajaran.

Celebral Palsy Dan Masalah Pendengaran

Seseorang individu palsi serebrum berkemungkinan juga mengalami ketidakupayaan atau masalah-masalah sampingan yang lain. Ia termasuklah masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah penglihatan, masalah pembelajaran, masalah tingkahlaku, masalah persepsi, terencat akal, masalah pertumbesaran, epilepsi dan lain-lain. Bukan semua ketidakupayaan atau masalah sampingan tersebut akan dialami oleh seseorang itu. Selain itu, ketidakupayaan atau masalah sampingan yang dihadapi oleh seseorang individu CP adalah berbeza daripada individu-individu CP yang lain.

*Saya akan ceritakan ketidakupayaan atau masalah-masalah sampingan tersebut dengan lebih terperinci. Saya akan fokus kepada satu ketidakupayaan atau masalah sampingan tersebut pada setiap catatan. Dalam post kali ini, saya ingin memulakan dengan masalah pendengaran terlebih dahulu. *


Masalah Pendengaran
Ada antara faktor yang menyebabkan masalah pendengaran pada bayi dan kanak-kanak juga merupakan faktor yang menyebabkan CP. Faktor-faktor itu adalah seperti kekurangan berat badan bagi bayi baru lahir, penyakit kuning dan kekurangan oksigen. Oleh itu, tidak hairanlah individu palsi serebrum lebih terdedah kepada masalah pendengaran berbanding dengan orang lain. Bagaimanapun, hanya segelintir kecil individu CP yang mengalami masalah pendengaran.

Secara umumnya, terdapat dua jenis masalah pendengaran iaitu conductive dan sensorineutral. Masalah pendengaran conductive merupakan masalah pada telinga luar atau telinga tengah yang menghalang aliran suara dari persekitaran daripada sampai ke saraf auditori yang sempurna. Manakala masalah pendengaran sensorineutral pula merupakan kerosakan pada telinga dalam atau saraf auditori yang menghalang otak daripada menerima signal yang betul.

Kedua-dua jenis masalah pendengaran boleh berlaku pada individu-individu CP.

Celebral Palsy Dan Masalah Sensori dan Persepsi

Individu CP berkemungkinan menghadapi masalah sensori dan masalah persepsi. Ada kanak-kanak CP yang tidak peka terhadap sentuhan atau kesakitan. Mereka mungkin juga tidak dapat mengenalpasti akan sesuatu objek melalui sentuhan. Contohnya, mereka menghadapi masalah untuk mengenalpasti sama ada objek yang dipegang itu merupakan sebiji bola yang keras, sesuatu permainan yang lembut atau objek lain, sekiranya tidak melihat pada objek tersebut.

Ada yang menghadapi kesukaran untuk mempersepsikan atau mentafsir maklumat-maklumat yang diterima oleh deria-deria terutamanya dalam bentuk cahaya (penglihatan) dan bunyi (pendengaran). Hal ini disebabkan oleh kecacatan otak yang tidak dapat mengintepretasikan maklumat-maklumat yang diterima oleh deria-deria. Hal ini berbeza daripada masalah penglihatan atan masalah pendengaran. Seseorang yang menghadapi masalah persepsi visual akan menghadapi kesukaran untuk mencari perkataan yang sesuai untuk menamakan objek yang dia nampak. Dia tahu bagaimana objek itu dipanggil tetapi dia tidak dapat atau lambat berfikir akan nama itu. Satu contoh lain ialah apabila dia diminta mencari atau mengambil sesuatu objek. Adakalanya dia nampak objek itu yang berada di depan matanya, tetapi tidak menyedari objek tersebut merupakan objek yang dicarinya lalu menyatakan bahawa dia tidak dapat mencari objek tersebut. Begitu juga dengan masalah persepsi audio. 
 
Seseorang itu dapat mendengar kita bercakap dengannya, tetapi otaknya tidak dapat atau lambat memproses apa yang kita cakap itu kepada maklumat yang berguna. Oleh itu, dia tidak atau lambat memberi respon kepada kita.

Celebral Palsy Dan Masalah Penglihatan

Individu-individu CP bukan saja lebih terdedah kepada masalah pendengaran berbanding dengan orang lain, tetapi mereka juga lebih cenderung mengalami masalah penglihatan berbanding dengan individu-individu lain.

Salah satu masalah penglihatan yang mungkin dihadapi oleh kanak-kanak CP ialah strabismus yang menyebabkan double vision. Hal ini berlaku kerana terdapat perbezaan kekuatan otot-otot mata kiri dengan mata kanan yang menyebabkan kedudukan kedua-dua mata yang tidak selari. Pembedahan biasanya dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini.

Ada juga individu CP yang menghadapi masalah penglihatan lain seperti hemianopia. Hemianopia merupakan suatu keadaan di mana sebahagian mata seorang itu menghadapi masalah penglihatan atau buta. Ia berlaku sama ada pada bahagian kiri atau bahagian kanan mata seseorang dan boleh berlaku pada salah satu mata atau kedua-dua belah mata. Apabila ia berlaku pada kedua-dua belah mata, bahagian kiri atau bahagian kanan kedua-dua mata itu tidak dapat melihat atau buta.

Celebral Palsy Dan Masalah Pertuturan

Bagi membolehkan komunikasi yang efektif berlaku, seseorang mesti berkebolehan menerima maklumat auditori yang kompleks dan memprosesnya dalam masa yang singkat. Setelah memproses atau mengintepretasi maklumat tersebut, seseorang itu mesti berkebolehan untuk memberi respon terhadap maklumat tersebut secara lisan atau verbal termasuk berkeupayaan mengawal otot-otot pada mulut dan lidah untuk menyuarakan fikiran atau responnya. Proses-proses ini sememangnya diambil mudah bagi orang yang tidak mengalami masalah pertuturan.

Namun, banyak individu CP menghadapi masalah pada salah satu atau lebih daripada satu proses tersebut. Individu CP yang menghadapi masalah pendengaran akan menghadapi kesukaran untuk menerima maklumat auditori yang kompleks dari persekitaran. Mereka yang menghadapi masalah untuk mengawal pergerakan otot-otot pada mulut dan lidah serta masalah respirasi akan berasa sangat sukar untuk menyebut perkataan dengan jelas dan cepat.

Masalah-masalah lain yang dihadapi oleh individu CP seperti masalah tingkahlaku atau kurang tumpuan juga boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat berkomunikasi secara efektif atau dalam tempoh masa yang panjang.

Thursday 28 November 2013

Mengesan Kanak-Kanak Spastik

Kanak-kanak spastic dapat dikesan dari simtom-simtom yang ditunjukkan :


Kesukaran sewaktu makan

Kanak-kanak spastic akan mengalami kesukaran menghisap, menelan dan mengunyah makanan. Ini seringkali menyebabkan mereka muntah. Kanak-kanak juga akan serta merta menggigit makanan yang diletakkan di dalam mulut mereka dan akan sukar untuk di keluarkan semula.

Masalah pernafasan

Kanak-kanak akan mengalami kesukaran bernafas, pernafasan mereka menjadi kencang dan bising.

Masalah tidur.

Kanak-kanak juga mengalami kesukaran tidur, mereka kerap terjaga di waktu malam dan sering menangis.

Masalah pertuturan.

Kanak-kanak spastic tidak boleh mengeluarkan suara iaitu mereka tidak boleg memanggil ibu bapanya ataupun mengeluarkan “babbling sound”. Kanak-kanak juga tidak memahami apa yang di katakan kepadanya.

Masalah pendengaran.

Kanak-kanak spastic hanya akan bertidak balas terhadap bunyi yang kuat ataupun tidak bertindak balas langsung terhadap bunyi.

Masalah penglihatan.

Sering kali kanak-kanak ini juling ataupun mengalami mistagmus iaitu pergerakan bola mata yang berterusan.

Reaksi yang tidak normal

Kanak-kanak spastic sering akan menangis disebabkan bunyi, cahaya dan sentuhan. Kanak-kanak ini juga kadangkala tidur berlebihan (hipersomnia).

Kemungkinan mengalami simtom-simtom terencat akal.

Kanak-kanak spastic mungkin mengalami kerencatan akal jika didapati mereka tidak pernah tersenyum, tidak mengenali ibu bapanya, sentiasa tidur, tidak bertindak balas atau tidak berminat terhadap keadaan sekelilingnya.

Perkembangan Kanak-Kanak Celebral Palsy

Bagi kanak-kanak yang menhidapi CP biasanya kita dapati mereka akan lahir lebih awal berbanding dengan kanak-kanak normal yang lain. Selain daripada itu, kanak-kanak seperti ini sewaktu lahirnya jarang atau tidak menangis.


0 – 10 bulan

Kanak-kanak ini pada peringkat awalnya sukar untuk melakukan pergerakan biasa bagi kanak-kanak normal seperti maniarap, duduk mengesot dan sebagainya.

11 bulan

Mula merangkak, tetapi tidak mahu berjalan dan mereka biasanya akan berdiri di hujung jari ibu kaki sahaja seolah-olah bimbang untuk bertapak.

1 – 3 tahun

1 tahun masih belum boleh berjalan / anggota tubuh lembik.
Tabiat bertahan nafas atau breathulding spell berlaku disamping berlakunya kekejangan terhadap anggota badan sekiranya kanak-kanak tersebut menangis apabila kemahuannya tidak dituruti dan didapati mukanya bertukar menjadi warna biru. Apabila di menarik nafasnya dan menangis, warna dimukanya kembali cerah semula.

8 tahun

-Belum boleh bercakap

Akibat daripada kerencatan ini boleh juga menimbulkan lain-lain kerencatan seperti :

- Rencatan akal (kurang kecerdasan)
- Kerencatan pertuturan
- Rencatan penglihatan
- Rencatan pendengaran
- Sawan (epilepsy)
- Kecacatan anggota
- Kecacatan gigi
- Masalah mengenai pernafasan
- Masalah mangenai pemakanan
- masalah untuk buang air besar atau kecil.

Punca - Punca Celebral Palsy

CP disebabkan oleh kerosakan otak yang berlaku semasa seseorang (fetus) masih berada dalam kandungan ibu lagi, semasa seseorang dilahirkan dan dalam beberapa tahun pertama selepas seseorang dilahirkan.

Antara punca-punca yang menyebabkan terjadinya CP termasuklah:
  • jangkitan bakteria pada ibu semasa mengandung seperti rubella

  • ketidakserasian darah ibu dengan kandungan

  • pengambilan alkohol dan dadah oleh ibu

  • kandungan kembar atau mengandung lebih daripada seorang anak

  • kelahiran awal atau pramatang

  • komplikasi semasa kelahiran seperti kekurangan oksigen kepada otak bayi, jangkitan pada otak bayi, dijangkiti penyakit kuning

  • kecederaan otak bayi akibat daripada jatuh, kemalangan, penderaan

Walaubagaimanapun, punca sebenar yang menyebabkan terjadinya CP pada kebanyakan kes tidak dapat dikenalpasti.

Jenis - Jenis Cerebral Palsy

Secara umumnya, palsi serebrum boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu spastik (spastic), athetosis (athetoid) dan ataxia (ataxic).


Spastik
Seseorang dikatakan mengalami palsi serebrum jenis spastik sekiranya dia mengalami ketegangan otot yang terlampau tinggi. Ketegangan ototnya berkemungkinan akan meningkat apabila dia melakukan sesuatu. Hal ini menyebabkannya kelihatan kaku atau keras.

Palsi serebrum jenis spastik boleh dibahagikan lagi kepada tiga kategori yang lebih spesifik berdasarkan bahagian badan yang terjejas iaitu paraplegia, hemiplegia dan diplegia. Bagi seseorang yang dikategorikan sebagai spastik paraplegia, kedua-dua tangan dan kaki serta tengkuknya terjejas. Kebanyakannya tidak dapat berjalan. Apabila hanya sebelah kiri atau kanan badan sahaja yang terjejas, seseorang itu digolongkan sebagai spastik hemiplegia. Dia akan kelihatan tempang semasa berjalan. Bagi seseorang yang mengalami spastik diplegia pula, kakinya adalah lebih terjejas daripada tangan. Fungsi tangannya mungkin terjejas sedikit atau tidak mengalami sebarang masalah.

Athetosis
Seseorang yang mengalami palsi serebrum jenis athetosis mengalami gabungan tahap ketegangan otot iaitu ada kalanya mengalami ketegangan otot yang sangat tinggi dan ada kalanya mengalami ketegangan otot yang sangat rendah. Seseorang itu selalunya menunjukkan pergerakan luar kawalan atau pergerakan secara tidak sengaja. Dia sukar mengekalkan posturnya semasa duduk atau berjalan. Dia memerlukan usaha dan tumpuan yang tinggi untuk mengunjurkan tangannya ke arah sesuatu seperti menggaru hidungnya atau mencapai sesebuah buku.

Ataxia
Seseorang yang mengalami palsi serebrum jenis ataxia pula menghadapi masalah koordinasi dan keseimbangan badan. Seseorang itu biasanya boleh berjalan tetapi tidak stabil. Dia akan berjalan dengan melebarkan jarak antara kedua-dua kakinya untuk mengimbangkan badannya. Tangannya akan bergetar semasa melakukan sesuatu khususnya apabila dia perlu melakukan pergerakan yang tepat atau pergerakan pantas seperti semasa membutangkan baju atau menulis. Keadaan akan bertambah teruk apabila dia disuruh melakukan sesuatu dalam masa yang singkat.


Kebanyakan individu palsi serebrum dikategorikan jenis spastik, dan ia diikuti dengan athetosis dan ataxia. Walaubagaimanapun, seseorang itu berkemungkinan mengalami lebih daripada satu jenis palsi serebrum. Hal ini bermaksud dia berkemungkinan mengalami palsi serebrum jenis spastik dengan athetosis, palsi serebrum jenis spastik dengan ataxia, palsi serebrum jenis athetosis dengan ataxia atau palsi serebrum jenis spastik, athetosis dengan ataxia. 
 
 

Wednesday 27 November 2013

Apa itu cerebral palsy (CP) ?



Cerebral Palsy (CP)  yang dipanggil palsi serebrum  dalam bahasa Melayu merupakan salah satu kategori ketidakupayaan perkembangan di mana bahagian-bahagian otak tertentu yang mengawal koordinasi dan pergerakan otot-otot dalam badan seseorang mengalami kerosakan. Ia boleh berlaku semasa seseorang itu masih berada dalam kandungan ibu, semasa dia dilahirkan atau dalam beberapa tahun pertama selepas dia dilahirkan.

Bahagian-bahagian otak yang mengalami kerosakan itu tidak akan sembuh buat selama-lamanya. Walaubagaimanapun, kerosakan itu juga tidak akan bertambah teruk. Hal ini bermaksud kerosakan itu akan berkekalan. Oleh itu, individu-individu palsi serebrum akan mengalami ketidakupayaan tersebut sepanjang hidup mereka. Mereka akan mengalami masalah pergerakan badan di mana motor kasar dan motor halus mereka terjejas. Mereka akan mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti-aktiviti harian seperti berjalan, menguruskan diri, makan, menulis dan sebagainya.

Individu yang mengalami CP adalah unik. Keadaan fizikal seseorang individu palsi serebrum adalah berbeza dengan individu palsi serebrum yang lain. Tiada dua individu CPyang mengalami tahap ketidakupayaan yang sama. Tahap ketidakupayaan seseorang individu itu boleh dikategorikan dari sangat minima hingga sangat teruk. Seseorang yang dikategorikan pada tahap sangat minima biasanya berupaya menjalani kehidupan harian seperti biasa tanpa sebarang bantuan. Sebaliknya seseorang yang dikategorikan pada tahap sangat teruk pula memerlukan penjagaan sepanjang hari. Dia bergantung sepenuhnya pada orang lain untuk melakukan segala aktiviti harian termasuk bergerak dan makan.

Secara umumnya,CP  boleh dibahagikan kepada empat jenis iaitu spastik (spastic), athetosis (athetoid), ataxia (ataxic) dan hypotonik (hypotonic). Seseorang itu mungkin juga mengalami gabungan dua atau ketiga-tiga jenis CP. Selain itu, mereka yang mengalami CP biasanya juga mengalami ketidakupayaan atau masalah lain. Ia termasuklah masalah pertuturan, masalah pendengaran, masalah penglihatan, masalah pembelajaran, terencat akal, masalah tingkahlaku, epilepsi dan masalah pertumbesaran. 
Walaupun CP tidak dapat diubati, namun keadaan fizikal seseorang mereka boleh bertambah baik dengan menjalani terapi seperti fisioterapi, terapi cara kerja dan terapi pertuturan; pengambilan ubat untuk mengurangkan ketegangan otot dan mengawal epilepsi; menjalani pembedahan untuk mengurangkan ketegangan otot atau memperbetulkan anatomi yang abnormal dan sebagainya.

CEREBRAL PALSY

Assalammualaikum dan salam sejahtera,,
Untuk pengetahuan semua, saya akan berkongsi dengan anda tentang CEREBRAL PALSY ataupun lebih dikenali sebagai CP. CP ini berkaitan dengan kerosakan otak dan mempunyai 4 jenis. Untuk keterangan lanjut, saya akan kongsikan bersama anda di posr-post yang akan datang.

Di bawah ini ada beberapa gambar individu yang mempunyai penyakit CP yang saya ambil daripada Internet.















Tuesday 26 November 2013

Biodata Diri

Assalammualaikum dan salam sejahtera,,
Ok, sebelum saya lupa,, saya lupa perkenalkan diri saya,, haha,,

Dalam kuliah pertama kursus Teknologi Pendidikan, Mejar Jasmy ada minta kami emailkan biodata kami kepada beliau(katanya boleh dapat markah bonus * BESAR MATA*),, hehe :D

Jadi, di sini saya akan lampirkan Biodata Diri saya dengan gambar pasport sekali :)




NAMA                       : LIYANA AKMAL BINTI MOHD YUSOF

NO MATRIK                  : A139533

PROGRAM                    : IJAZAH  SARJANA  MUDA  PENDIDIKAN
                             DENGAN KEPUJIAN (PENDIDIKAN KHAS)

TAHUN PENGAJIAN            : TAHUN 2

EMAIL                      : liyanaakmal236@yahoo.com

FACEBOOK                   : LIYANA AKMAL

NO. TELEFON                : 017-9154467

NO. TEL RUMAH              : 09-2229393

ALAMAT KOLEJ               : K16E 507, KOLEJ RAHIM KAJAI, UKM BANGI

ALAMAT RUMAH               : 34, TAMAN SEROJA 28700 BENTONG,PAHANG