Secara umumnya, palsi serebrum boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu spastik (spastic), athetosis (athetoid) dan ataxia (ataxic).
Spastik
Seseorang
dikatakan mengalami palsi serebrum jenis spastik sekiranya dia
mengalami ketegangan otot yang terlampau tinggi. Ketegangan ototnya
berkemungkinan akan meningkat apabila dia melakukan sesuatu. Hal ini
menyebabkannya kelihatan kaku atau keras.
Palsi
serebrum jenis spastik boleh dibahagikan lagi kepada tiga kategori yang
lebih spesifik berdasarkan bahagian badan yang terjejas iaitu
paraplegia, hemiplegia dan diplegia. Bagi seseorang yang dikategorikan
sebagai spastik paraplegia, kedua-dua tangan dan kaki serta tengkuknya
terjejas. Kebanyakannya tidak dapat berjalan. Apabila hanya sebelah kiri
atau kanan badan sahaja yang terjejas, seseorang itu digolongkan
sebagai spastik hemiplegia. Dia akan kelihatan tempang semasa berjalan.
Bagi seseorang yang mengalami spastik diplegia pula, kakinya adalah
lebih terjejas daripada tangan. Fungsi tangannya mungkin terjejas
sedikit atau tidak mengalami sebarang masalah.
Athetosis
Seseorang
yang mengalami palsi serebrum jenis athetosis mengalami gabungan tahap
ketegangan otot iaitu ada kalanya mengalami ketegangan otot yang sangat
tinggi dan ada kalanya mengalami ketegangan otot yang sangat rendah.
Seseorang itu selalunya menunjukkan pergerakan luar kawalan atau
pergerakan secara tidak sengaja. Dia sukar mengekalkan posturnya semasa
duduk atau berjalan. Dia memerlukan usaha dan tumpuan yang tinggi untuk
mengunjurkan tangannya ke arah sesuatu seperti menggaru hidungnya atau
mencapai sesebuah buku.
Ataxia
Seseorang
yang mengalami palsi serebrum jenis ataxia pula menghadapi masalah
koordinasi dan keseimbangan badan. Seseorang itu biasanya boleh berjalan
tetapi tidak stabil. Dia akan berjalan dengan melebarkan jarak antara
kedua-dua kakinya untuk mengimbangkan badannya. Tangannya akan bergetar
semasa melakukan sesuatu khususnya apabila dia perlu melakukan
pergerakan yang tepat atau pergerakan pantas seperti semasa membutangkan
baju atau menulis. Keadaan akan bertambah teruk apabila dia disuruh
melakukan sesuatu dalam masa yang singkat.
Kebanyakan
individu palsi serebrum dikategorikan jenis spastik, dan ia diikuti
dengan athetosis dan ataxia. Walaubagaimanapun, seseorang itu
berkemungkinan mengalami lebih daripada satu jenis palsi serebrum. Hal
ini bermaksud dia berkemungkinan mengalami palsi serebrum jenis spastik
dengan athetosis, palsi serebrum jenis spastik dengan ataxia, palsi
serebrum jenis athetosis dengan ataxia atau palsi serebrum jenis
spastik, athetosis dengan ataxia.

No comments:
Post a Comment