Individu-individu CP mungkin juga
menghadapi kesukaran untuk menelan atau makan dan minum terutamanya
ketika seseorang itu masih kecil lagi. Bagi bayi dan kanak-kanak kecil,
mereka mungkin menghadapi kesukaran untuk menghisap air dan susu
daripada botol.
Ada individu CP mungkin menghadapi kesukaran atau langsung tidak berupaya untuk
minum dari cawan atau gelas, dan perlu menggunakan penyedut. Malah ada
antara mereka juga menghadapi kesukaran untuk menyedut minuman dengan
menggunakan penyedut. Sebahagian air yang diminum atau disedut mungkin
akan meleleh keluar daripada mulut. Selain minum, mereka juga menghadapi
kesukaran untuk makan termasuk menggigit, mengunyah dan menelan
makanan.
Antara faktor yang menyebabkan
masalah ini termasuklah otot-otot mulut yang lemah atau terlalu tegang
mengakibatkan kesukaran untuk mengunyah; kesukaran menutup mulut dengan
rapat yang mengakibatkan makanan terkeluar daripada mulut semula semasa
cuba mengunyah; kesukaran melakukan pergerakan lidah yang betul untuk
mengawal makanan semasa ia dikunyah atau untuk menolak makanan dari
bahagian luar mulut ke bahagian dalam mulut; otot-otot muka yang lemah
mengakibatkan makanan disimpan atau terus berada pada bahagian tepi
(dalam) mulut; deria rasa yang kurang peka mengakibatkan seseorang itu
tidak sedar bahawa terdapat makanan di dalam mulutnya atau kedudukan
makanan tersebut dalam mulut; dan sebagainya. Kesukaran menelan ini akan
menyebabkan seseorang itu menghadapi pelbagai kesukaran semasa makan
atau minum seperti tersedak/batuk semasa atau sejurus selepas makan,
makan dengan kadar agak perlahan, memerlukan usaha yang lebih untuk
mengunyah, tercekik dan sebagainya.
Bagi
mengurangkan risiko seseorang individu CP daripada tercekik,
dia haruslah dipastikan duduk dengan postur yang betul semasa makan.
Dengan postur yang betul, masalah menelan atau makan dan minum yang lain
mungkin juga dapat dihadapi dengan baik. Bagi mereka yang menghadapi
kesukaran menelan atau makan dan minum yang teruk, mereka mungkin akan
diberi makanan dan minuman melalui tiub untuk mengelakkan mereka
daripada kekurangan makanan termasuk air.
No comments:
Post a Comment