Dari
segi pergerakan, ada yang mengalami pergerakan yang sangat terhad
termasuk tidak berkeupayaan berubah posisi dari baring kapada duduk
tanpa bantuan. Mereka memerlukan sokongan fizikal untuk duduk. Ada yang
langsung tidak berkeupayaan untuk berjalan dan menggunakan kerusi roda
untuk bergerak. Bagi mereka yang berkerusi roda, ada yang boleh menolak
kerusi roda sendiri, ada yang memerlukan bantuan untuk menolak di
tempat-tempat tertentu sahaja dan ada yang memerlukan sepenuh bantuan
untuk menolaknya. Individu-individu CP yang lain mungkin
memerlukan bantuan seseorang, rollator, walker atau
tongkat untuk berjalan. Selain itu, ada yang boleh berjalan sendiri
tetapi kurang stabil, ada yang boleh berjalan agak baik, malah ada yang
berupaya berlari juga walaupun kelihatan tempang sedikit.
Dari
segi melakukan aktiviti-aktiviti harian, ada yang bergantung sepenuhnya
kepada orang lain untuk melakukan segala aktiviti harian termasuklah ke
tandas untuk memenuhi keperluan membuang air kecil dan juga besar;
membersihkan diri seperti memberus gigi, membasuh muka dan mandi;
memakai pakaian dan sebaliknya; dan menyuap makanan dan minuman. Ada
yang berupaya melakukan sesetengah aktiviti harian sama ada dengan
bantuan alat-alat adaptasi seperti pingan dan sudu yang diubahsuai, atau
tidak. Ada yang berkeupayaan melakukan kebanyakan aktiviti harian
dengan sendiri tetapi memerlukan masa yang lebih panjang untuk
melakukannya. Ada yang berkeupayaan melakukan hampir semua atau semua
aktiviti harian sendiri tanpa sebarang masalah khususnya mereka yang
mengalami CP jenis spastik diplegia.
Ada
yang berkeupayaan menulis dan ada yang berasa sangat sukar atau
langsung tidak mampu untuk menulis. Bagi mereka yang berkeupayaan untuk
menulis, kebolehan dan kepantasan mereka menulis adalah berbeza antara
satu sama lain. Walaubagaimanapun, mereka khususnya yang tidak boleh
menulis atau mengalami kesukaran untuk menulis boleh diajar menaip
dengan menggunakan komputer.
Dari segi
pertuturan, ada yang langsung tidak mengalami sebarang masalah
pertuturan dan berkeupayaan bercakap seperti orang lain. Ada yang
berkeupayaan bercakap tetapi kurang jelas dan tahap kejelasan kata-kata
yang ditutur oleh seseorang itu juga berbeza antara satu sama lain. Ada
yang langsung tidak berkeupayaan untuk bercakap. Mereka itu mungkin
berkebolehan untuk berkomunikasi dengan menggunakan makaton atau carta komunikasi. Ada yang mempunyai komunikasi yang sangat terhad.
Dari
segi perkembangan mental dan juga akademik, banyak yang mempunyai
perkembangan mental normal atau mengalami sedikit kelewatan sahaja. Ada
juga yang mempunyai tahap perkembangan mental yang jauh lebih rendah
berbanding dengan umur mereka. Mereka ini mungkin masih berfikiran
seperti kanak-kanak walaupun diri mereka itu telah dewasa. Ada yang
berkeupayaan untuk belajar, malah ada yang berkeupayaan untuk berjaya
dalam pelajaran seperti orang lain. Ada yang memerlukan lebih masa untuk
mempelajari sesuatu dan mereka ini memerlukan pendidikan khas.
No comments:
Post a Comment