Fisioterapi
merupakan terapi yang tertumpu pada kemahiran-kemahiran motor kasar seseorang.
Motor kasar berfokus kepada otot-otot besar kita seperti yang terdapat pada
kaki, lengan dan abdomen. Antara kemahiran atau aktiviti yang melibatkan motor
kasar adalah seperti berguling, duduk, merangkak, berdiri, berjalan, berlari,
menaiki dan menuruni tangga, melompat, menendang, membaling, mengangkat barang,
menunduk atau membongkokkan badan dan sebagainya.
Fisioterapi
penting untuk membantu kanak-kanak kurang upaya fizikal dalam mempelajari
kemahiran-kemahiran motor kasar. Ia juga penting bagi seseorang normal yang
menjadi kurang upaya akibat daripada kemalangan atau penyakit untuk mempelajari
semula kemahiran-kemahiran motor kasar. Fisioterapi mengunakan latihan senaman
yang tertentu untuk membantu seseorang mempelajari kemahiran-kemahiran tersebut
dan latihan-latihan senaman itu dilakukan secara berterusan.
Fisioterapi
haruslah dimulakan seawal yang mungkin iaitu semasa kanak-kanak CP
masih kecil lagi atau sebaik saja mereka didapati mengalami perkembangan
fizikal yang lewat atau didianogsiskan. Dengan fisioterapi, kanak-kanak CP akan mempelajari kemahiran-kemahiran motor kasar, cara-cara yang lebih
baik untuk bergerak dan meningkatkan kestabilan atau keseimbangan badan. Dengan
berdasarkan keadaan fizikal seseorang individu pada sesuatu masa itu, jurupulih
fisioterapi akan membimbing mereka berlatih berguling, duduk, mengangkat dan
mengawal pergerakan kepala, merangkak, cara-cara menggunakan kerusi roda,
berjalan dengan menggunakan alat bantuan tertentu seperti rollator, walking
frame dan tongkat, berjalan sendiri atau menaiki dan menuruni tangga.
Bagi
kanak-kanak yang masih tidak berupaya belajar berjalan atau tidak berpotensi
untuk berjalan akan dibimbing dan dilatih cara-cara menggunakan kerusi roda
termasuk memasang atau mengunci dan membuka brek dan menolak kerusi roda serta
mengubah arah pergerakan kerusi roda yang mereka sedang duduk atasnya. Mereka
sentiasa akan dibimbing untuk mempelajari cara-cara pergerakan yang lebih baik
dengan berdasarkan keupayaan masing-masing untuk terus maju. Contohnya, pada
permulaan seseorang itu mungkin akan belajar berjalan dengan bantuan rollator,
kemudiannya mungkin menggunakan walking frame atau tongkat dan akhirnya
berjalan sendiri.
Kemahiran-kemahiran
tersebut bukannya dapat dipelajari atau dikuasai dalam masa beberapa hari atau
minggu saja. Mereka memerlukan masa beberapa bulan malah bertahun-tahun lamanya
untuk menguasai sesuatu kemahiran. Ada yang tidak dapat menunjukkan sebarang
kemajuan atau hanya menunjukkan sedikit kemajuan walaupun telah dilatih
beberapa tahun lamanya. Ada juga yang pada mulanya telah berjaya menunjukkan
kemajuan dalam kemahiran tertentu tetapi menunjukkan kemerosotan selepas itu.
Begitu juga dengan kemahiran-kemahiran lain yang dipelajari dalam sesi terapi
cara kerja dan terapi pertuturan. Hal ini mungkin kerana mereka tidak mengikuti
sesi terapi secara konsisten.
Dalam
fisioterapi, mereka juga mungkin akan dibimbing untuk mempelajari
aktiviti-aktiviti tertentu seperti berlari, menendang, membaling dan menyambut
bola serta mengayuh basikal. Fisioterapi juga penting untuk membimbing mereka
supaya duduk, berdiri, berjalan dan sebagainya dalam postur yang betul. Hal ini
penting untuk mengelakkan atau mengurangkan risiko individu CP mengalami masalah pada sistem rangka seperti scoliosis, hip
dislocation dan sebagainya. Latihan-latihan senaman terhadap otot-otot yang
kurang digunakan akibat daripada pergerakan yang terhad juga penting untuk
mengelakkan otot-otot tersebut menjadi lemah dan mengurangkan masalah pada
sistem rangka.
No comments:
Post a Comment