Ada individu CP yang berupaya berjalan sendiri.
Ada yang memerlukan alat-alat sokongan mobiliti tertentu untuk berjalan
khususnya bagi kanak-kanak atau remaja yang masih belajar berjalan. Alat-alat
sokongan tersebut termasuklah rollator, walker dan tongkat yang
boleh didapati dalam pelbagai jenis dan bentuk serta saiz. Setiap jenis dan
bentuk itu mempunyai kegunaan dan kelebihan tersendiri. Pemilihan sesuatu alat
sokongan bagi seseorang adalah berdasarkan keperluan atau keadaan fizikalnya dan
juga kesesuaiannya.
Rollater
Walker
Tongkat
Adakalanya, sesetengah individu yang berupaya berjalan itu
perlu menggunakan kerusi roda pada masa tertentu. Contohnya, semasa mereka
berada di luar bangunan yang keadaan jalannya tidak rata, semasa mereka perlu
bergerak pantas, atau semasa mereka ingin bergerak pada jarak yang agak jauh
atau lama. Penggunaan kerusi roda juga penting bagi kanak-kanak CP
yang masih belum berupaya berjalan atau yang baru saja mula belajar berjalan.
Selain itu, ada yang langsung tidak berupaya untuk berjalan dan perlu
menggunakan kerusi roda buat seumur hidup mereka. Terdapat pelbagai jenis dan
bentuk kerusi roda yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.
Walaubagaimanapun, secara umumnya kerusi roda boleh dibahagikan kepada dua
kategori iaitu kerusi roda biasa yang perlu ditolak sendiri atau seseorang dan
kerusi roda bermotor yang boleh bergerak sendiri dengan hanya menekan atau
mengawal suiznya saja.
Selain itu, sesetengah individu CP yang
berkerusi roda perlu juga diikat pada pinggang untuk memastikan mereka duduk
dengan baik dan juga mengelakkan mereka terjatuh daripada kerusi roda. Ada juga
yang kakinya terpaksa diikat pada kerusi roda untuk menghalang pergerakan kaki
yang tidak terkawal. Sebilangan kecil mereka juga menggunakan kusyen atau alat
sokongan untuk duduk supaya mereka dapat duduk dengan posisi yang betul. Tray
mungkin juga dipasang pada kerusi roda untuk membolehkan mereka membuat
aktiviti harian seperti belajar, menulis atau menaip dan makan selain
meletakkan buku dan juga kedua-dua tangan mereka padanya. Carta komunikasi yang
digunakan oleh seseorang juga boleh dilekatkan pada tray untuk
memudahkannya berkomunikasi dengan orang lain.
No comments:
Post a Comment