Banyak kanak-kanak CP memerlukan
pendidikan khas. Hal ini kerana masalah pergerakan badan yang dialami
akan menyukarkan mereka untuk belajar. Selain itu, sebilangan mereka
juga mengalami kecerdasan mental yang lebih rendah dan ada juga yang
mengalami masalah pembelajaran serta masalah-masalah sampingan yang
lain. Namun begitu, bukan mereka semua memerlukan pendidikan khas bagi
sepanjang tempoh persekolahan mereka. Ada yang hanya memerlukan
pendidikan khas bagi beberapa bulan atau tahun sahaja dan dengan
bimbingan awal tersebut, mereka berkeupayaan mengikuti pelajaran di
sekolah biasa selepas itu. Oleh itu, kanak-kanak CP haruslah
diberi pendidikan khas seawal yang mungkin agar lebih banyak daripada
mereka berpeluang ke sekolah biasa apabila tiba masanya.
Pendidikan
khas merupakan pendidikan bagi pelajar-pelajar kurang upaya yang
mengalami kesukaran untuk mengikuti cara-cara pengajaran dan
pembelajaran dan mungkin juga silibus yang biasanya diikuti oleh
pelajar-pelajar lain. Mereka mengalami kesukaran tersebut akibat
daripada ketidakupayaan yang dialami khususnya dari segi penglihatan,
pendengaran dan pembelajaran. Mereka terutamanya yang mengalami
ketidakupayaan penglihatan dan pendengaran biasanya akan diajar dengan
berdasarkan silibus yang sama tetapi memerlukan cara-cara pengajaran dan
pembelajaran yang berlainan seperti dengan penggunaan braille, mesin
braille, bahasa isyarat dan sebagainya.
Manakala, sesetengah OKU yang
mengalami masalah pembelajaran atau pelbagai ketidakupayaan bukan saja
memerlukan cara-cara pengajaran dan pembelajaran yang berbeza, tetapi
mereka juga tidak dapat mengikuti silibus biasa dengan mengikut tempoh
masa yang ditetapkan. Mereka ini akan diajar berdasarkan silibus yang
diubahsuaikan supaya bersesuaian dengan keperluan dan keupayaan
masing-masing. Dengan adanya silibus dan cara pengajaran serta
pembelajaran yang bersesuaian, mereka akan mempelajari sesuatu dengan
lebih mudah dan berkesan.
Selain itu, mereka yang mengikuti pendidikan khas biasanya juga akan diajar berdasarkan Pelan Pembelajaran Individu (Individualized Education Plan - IEP).
IEP direka untuk memenuhi keperluan akademik seseorang pelajar kurang
upaya itu. Dengan berdasarkan pencapaian akademik seseorang pelajar pada
sesuatu masa, IEP akan menggariskan matlamat seterusnya yang harus
dicapai oleh pelajar itu dalam tempoh masa tertentu seperti setahun, dan
usaha-usaha serta cara-cara yang perlu diambil untuk mencapai
matlamat-matlamat tersebut. Seseorang yang kurang upaya boleh
mendapatkan pendidikan khas sama ada di sekolah-sekolah khas yang
bersesuaian atau kelas-kelas khas yang didapati di sesetengah sekolah.
Bagi
pelajar-pelajar CP khususnya yang mengalami cerebral palsy
tahap sederhana atau teruk seperti tidak berupaya duduk dengan betul,
tidak berupaya atau sangat sukar untuk menulis dan mengalami masalah
pembelajaran yang teruk, mereka biasanya perlu mengikuti pendidikan khas
bagi sepanjang tempoh persekolahan. Selain itu, ada yang terus pergi
belajar di sekolah-sekolah biasa khususnya mereka yang mengalami CP tahap rendah. Ada yang langsung tidak bersekolah atau tercicir
daripada alam persekolahan kerana tiada sekolah khas yang bersesuaian
atau tidak tahu akan kewujudannya dan juga tidak berupaya mengikuti
pengajaran dan pembelajaran di sekolah biasa atas sebab ketidakupayaan
atau sebab-sebab lain. Ada yang terpaksa meneruskan pelajaran di sekolah
khas walaupun berpotensi belajar di sekolah biasa atas masalah-masalah
tertentu termasuk persekitaran sekolah yang kurang mesra OKU, masalah
pengangkutan, tiada ahli keluarga yang mempunyai masa untuk menghantar
dan mungkin menjaganya di sekolah dan kurang penerimaan serta sokongan
pihak sekolah terutamanya guru selain keadaan fizikal yang kurang
mengizinkan.
No comments:
Post a Comment