Terapi cara kerja tertumpu kepada kemahiran-kemahiran motor
halus seseorang. Motor halus berfokus kepada otot-otot kecil kita seperti yang
terdapat pada muka, tapak tangan, tapak kaki dan jari. Antara kemahiran atau
aktiviti yang melibatkan motor halus adalah seperti menggengam sesuatu dengan
tangan dan melepaskannya, mengambil dan memanipulasikan sesuatu dengan tangan
atau jari, menyuapkan makanan, membersihkan diri termasuk memberus gigi,
mencuci muka, mandi dan memotong kuku, menyalin pakaian, menulis, membuat kraftangan
dan melakukan aktiviti-aktiviti harian yang lain.
Terapi cara kerja penting untuk
membimbing seseorang kurang upaya mempelajari cara-cara melakukan
aktiviti-aktiviti harian khususnya menguruskan dirinya. Ia juga penting bagi
seseorang upaya yang hilang keupayaannya akibat penyakit atau kemalangan untuk
mempelajari semula kemahiran-kemahiran menjalankan aktiviti-aktiviti harian. Ia
akan membantu seseorang kurang upaya sama ada yang mengalami masalah pergerakan
tangan, masalah sensori khususnya masalah penglihatan dan masalah yang
berkaitan dengan deria sentuhan dan masalah kognitif untuk mempelajari pelbagai
aspek kehidupan supaya mereka dapat hidup berdikari.
Seperti fisioterapi, terapi cara kerja juga harus dimulakan
sejak individu-individu CP masih kecil lagi. Melalui terapi cara
kerja, mereka terutamanya kanak-kanak kecil akan dibimbing dan dilatih untuk
menghulurkan kedua-dua tangan ke hadapan, mencapai sesuatu, mengenggam dan
melepaskannya, dan mengambil atau memanipulasikan sesuatu dengan jari. Terapi
ini juga menekankan aspek koordinasi mata dengan tangan yang memainkan peranan
yang sangat penting dalam menjalankan aktiviti-aktiviti kehidupan. Mereka
biasanya akan digalakkan dan dilatih melakukan aktiviti-aktiviti ini dengan
mengunakan alat permainan. Kemahiran-kemahiran yang dipelajari ini akan
membolehkan mereka bermain dengan pelbagai alat permainan, yang seterusnya
dapat membantu perkembangan otak mereka.
Seterusnya kanak-kanak CP akan dibimbing dan dilatih akan cara-cara melakukan aktiviti-aktiviti
harian termasuk memberus gigi; membasuh muka; membasuh tangan; mandi; memakai
baju, seluar, stoking dan kasut dan sebaliknya; membutang dan menzip; menyikat
rambut; menyuap sendiri makanan dan minuman; dan sebagainya. Terapi ini juga
akan membantu mereka dalam aspek pembelajaran. Mereka akan dibimbing dan
dilatih menulis, mewarna dan membuat kraftangan yang melibatkan pelbagai proses
termasuk menggunting dan melekat dengan gam. Aktiviti-aktiviti yang diajar
adalah berdasarkan perkembangan semasa seseorang. Selain itu, mereka akan
diajar melakukan sesuatu aktiviti kehidupan dengan menggunakan cara mudah dan
bersesuaian dengan keupayaan masing-masing. Contohnya, seseorang yang tidak
berupaya memegang pensel akan diajar menaip.
Aktiviti-aktiviti kehidupan lain
yang lebih rumit seperti menyapu lantai, mengelap, membasuh pingan mangkuk,
melipat pakaian dan sebagainya mungkin juga akan diajar berdasarkan keupayaan
seseorang. Dengan latihan melakukan aktiviti-aktiviti kehidupan dan mungkin
juga aktiviti-aktiviti lain, masalah yang berkaitan dengan deria sentuhan
seperti terlalu sensitif terhadap sentuhan juga akan ditangani. Selain itu,
aktiviti-aktiviti lain atau permainan juga diberi seperti memory game
yang dapat membantu perkembangan kognitif seseorang termasuk kemahiran
mengingat. Secara tidak langsung, mereka akan mempelajari kemahiran sosial
apabila bermain dengan jurupulih atau rakan-rakan lain.
Di samping itu, jurupulih terapi
cara kerja akan bekerjasama dengan jurupulih fisioterapi untuk menentukan
kerusi atau kerusi roda yang sesuai bagi seseorang individu palsi serebrum.
Jurupulih terapi cara kerja juga akan mencari dan memperkenalkan alat-alat
adaptasi atau khas yang akan membolehkan atau memudahkan seseorang individu
palsi serebrum menjalankan kehidupan harian. Ia termasuklah kerusi mandi, sudu
dengan pemegangnya yang besar, cawan yang mempunyai pemegang khas atau yang
berbentuk khas untuk membolehkan seseorang minum dengan mudah, pengubahsuaian
butang atau zip pakaian dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment