Ada sebilangan kecil individu CP
khususnya yang mengalami CP jenis spastik diplegia tidak
mengalami sebarang masalah untuk menyuap sendiri. Mereka boleh memakan
dengan baik seperti orang lain. Ada yang berupaya menyuap sendiri dengan
menggunakan peralatan yang biasa tetapi agak sukar sedikit akibat
daripada masalah pergerakan yang dialami. Tahap kesukaran yang dialami
oleh seseorang itu adalah berbeza antara satu sama lain.
Ada
yang memerlukan bantuan seseorang untuk menyuap mereka. Hal ini kerana
mereka mungkin tidak berupaya memegang sudu biasa dengan pemegang yang
kecil; mengalami ketegangan otot yang terlalu tinggi sehingga tidak
berupaya menggerakkan tangan ke arah makanan, mengambil makanan dengan
sudu dan membawa sudu bersama makanan ke mulut; tidak dapat mengawal
pergerakan tangan semasa makan; tidak dapat duduk dengan baik dan
lain-lain. Walaubagaimanapun, sebilangan kecil mereka berupaya menyuap
makanan sendiri dengan adanya peralatan khas.
Contohnya,
penggunaan pengalas yang tidak licin untuk mengalas pinggan atau meja
khas dapat menghalang pingan daripada tergerak-gerak semasa seseorang
mengambil makanan dari pingan tersebut akibat daripada pergerakan tangan
yang abnormal atau tidak terkawal; sudu atau garpu yang mempunyai
pemegang plastik yang besar untuk memudahkan seseorang itu untuk
memegangnya; dan bentuk sudu atau garpu yang direka khas untuk
memudahkan seseorang mengambil makanan dan memasukkannya ke dalam mulut;
selain menggunakan pingan yang bersesuaian.
Ada individu CP berupaya meminum air sendiri daripada cawan.
Ada pula yang tidak berupaya untuk meminum air daripada cawan dan
memerlukan penyedut minuman. Penggunaan cawan yang mempunyai pemegang
adalah penting bagi mereka yang mempunyai masalah pergerakan tangan
untuk minum. Pemegang cawan itu haruslah besar untuk membolehkan
seseorang memegangnya dengan baik. Seboleh-bolehnya cawan itu ringan dan
tidak mudah pecah untuk membolehkan seseorang menggunakannya dengan
mudah dan selamat. Selain itu, terdapat juga cawan yang direka khas
seperti sebahagian pinggir cawan yang berbentuk separuh bulat untuk
memudahkan seseorang minum.
No comments:
Post a Comment