Cerebral Palsy (CP) yang dipanggil palsi serebrum
dalam bahasa Melayu merupakan salah satu kategori ketidakupayaan
perkembangan di mana bahagian-bahagian otak tertentu yang mengawal
koordinasi dan pergerakan otot-otot dalam badan seseorang mengalami
kerosakan. Ia boleh berlaku semasa seseorang itu masih berada dalam
kandungan ibu, semasa dia dilahirkan atau dalam beberapa tahun pertama
selepas dia dilahirkan.
Bahagian-bahagian
otak yang mengalami kerosakan itu tidak akan sembuh buat
selama-lamanya. Walaubagaimanapun, kerosakan itu juga tidak akan
bertambah teruk. Hal ini bermaksud kerosakan itu akan berkekalan. Oleh
itu, individu-individu palsi serebrum akan mengalami ketidakupayaan
tersebut sepanjang hidup mereka. Mereka akan mengalami masalah
pergerakan badan di mana motor kasar dan motor halus mereka terjejas.
Mereka akan mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti-aktiviti harian
seperti berjalan, menguruskan diri, makan, menulis dan sebagainya.
Individu
yang mengalami CP adalah unik. Keadaan fizikal seseorang
individu palsi serebrum adalah berbeza dengan individu palsi serebrum
yang lain. Tiada dua individu CPyang mengalami tahap
ketidakupayaan yang sama. Tahap ketidakupayaan seseorang individu itu
boleh dikategorikan dari sangat minima hingga sangat teruk. Seseorang
yang dikategorikan pada tahap sangat minima biasanya berupaya menjalani
kehidupan harian seperti biasa tanpa sebarang bantuan. Sebaliknya
seseorang yang dikategorikan pada tahap sangat teruk pula memerlukan
penjagaan sepanjang hari. Dia bergantung sepenuhnya pada orang lain
untuk melakukan segala aktiviti harian termasuk bergerak dan makan.
Secara umumnya,CP boleh dibahagikan kepada empat jenis iaitu spastik (spastic), athetosis (athetoid), ataxia (ataxic) dan hypotonik (hypotonic).
Seseorang itu mungkin juga mengalami gabungan dua atau ketiga-tiga
jenis CP. Selain itu, mereka yang mengalami CP
biasanya juga mengalami ketidakupayaan atau masalah lain. Ia termasuklah
masalah pertuturan, masalah pendengaran, masalah penglihatan, masalah
pembelajaran, terencat akal, masalah tingkahlaku, epilepsi dan masalah
pertumbesaran.
Walaupun CP
tidak dapat diubati, namun keadaan fizikal seseorang mereka boleh
bertambah baik dengan menjalani terapi seperti fisioterapi, terapi cara
kerja dan terapi pertuturan; pengambilan ubat untuk mengurangkan
ketegangan otot dan mengawal epilepsi; menjalani pembedahan untuk
mengurangkan ketegangan otot atau memperbetulkan anatomi yang abnormal
dan sebagainya.